Showing posts with label tips. Show all posts
Showing posts with label tips. Show all posts

Thursday, January 23, 2014

Salam Jumaat Dan Jangan Lupa Untuk Senyum

Salam Jumaat Paklong ucapkan kepada semua. Paklong harap para kaum Adam yang berkemampuan dan tidak mempunyai keuzuran berkesempatan untuk menunaikan solat Jumaat pada hari ini. Bukannya setiap hari kita kena bersolat Jumaat ini. Seminggu hanya sekali sahaja. Paklong rasa tidak membebankan kita semua. Di samping dapat mendengar khutbah kita juga boleh menambah dan mengeratkan silaturrahim antara sesama kita. 

Semasa bersalaman sesama jemaah contohnya. Tak ada salahnya bersalaman dan mengukirkan senyuman dengan orang yang bersembahyang di sebelah mahupun berhampiran dengan kita selepas usai sembayang Jumaat. Bersalam dengan adab yang betul. Jangan jadikan satu budaya, selepas sahaja pak imam memberikan salam kita terus sahaja beredar. Paklong faham kita semua masing-masing sibuk dengan kerja dan tugasan masing-masing tapi apalah salahnya dalam waktu beberapa saat itu kita cuba mengeratkan persaudaraan sesama kita. Hanya dengan bersalaman dan mengukirkan senyuman sahaja. 

Wednesday, January 22, 2014

Koleksi : Cara Membuat Minyak Angin

Dari simpanan koleksi sepupu Paklong. Buat tatapan generasi akan datang. Cara-cara dan ramuan untuk membuat minyak angin dalam tulisan jawi. Macam manuskrip lama pun ada juga. Tulisan jawi orang dulu-dulu memang cantik. Ada seninya.

Ada beberapa tulisan yang dah pudar dan tak berapa jelas untuk dibaca. 

Batuk, Kicap Dan Limau Nipis



Salah satu petua untuk menghilangkan dan melegakan batuk adalah dengan mengunakan kombinasi campuran kicap dan juga limau nipis. Paklong percaya ramai yang sudah mengetahui tentang petua ni. Paklong sendiri tidak terkecuali mempraktiskan petua ni kadang-kala apabila mengalami masalah batuk.

Terutamanya bila batuk tiba-tiba datang menyerang di tengah malam. Kebetulan pula ubat batuk tak ada dalam simpanan di rumah. Maka alternatif yang paling sedang dan mudah adalah dengan mengambil sesudu besar kicap dan dititiskan dengan perahan limau nipis. Rasanya yang agak masam dan manis (selalunya Paklong campurkan dengan kicap soya manis) membuatkan tekak Paklong senang untuk menerimanya. Petua yang ringkas dan senang.

Tuesday, January 21, 2014

Masalah Kuku Cagu Atau Kuku Cekam

Rupanya banyak juga orang yang mengalami masalah kaki kuku cekam macam yang Paklong pernah alami dulu. Alhamdulillah selepas Paklong amalkan petua yang kawan Paklong ajarkan itu ada perubahan pada kuku kaki Paklong ni. Sebetulnya pada permulaanya bukan setakat kawan Paklong tu ajar dan petuakan tapi sampai tolong buatkan untuk Paklong. Mungkin dia tengok Paklong tak berapa nak ambil kisah dengan petua yang dia beritahu tu. Maklumlah nampak macam senang dan ringkas sangat. 

Sampailah suatu hari dia datang ke rumah Paklong dan tengok kaki Paklong ni macam sudah semakin teruk. Dia terus masuk ke dapur dan minta beberapa keping cili kering dan terus buatkan apa yang selalu dia petuakan kepada Paklong tu. Selepas tu dia nasihatkan paklong untuk teruskan petua tu secara konsisten.

Kuku kaki Paklong sekarang. Alhamdulillah.

Bagi yang membaca petua yang Paklong terangkan sebelum ini eloklah cuba dulu. Mungkin ada yang serasi dengan petua tersebut. Mungkin juga ada yang tidak serasi. Tapi tak salah kalau kita mencuba. Modalnya tidak seberapa pun kalau hendak dibandingkan dengan kos rawatan secara klinikal. Hanya perlu menjenguk ke dapur anda sahaja.

Monday, January 20, 2014

Tok Ba Si Tukang Urut

Selain daripada masalah kuku kaki Paklong, lutut Paklong juga sebelum ini ada mengalami masalah. Bukannya sampai tak boleh berjalan tapi kalau tersilap langkah atau pun tersadung akan terasa kesan pada sendi lutut Paklong. Boleh tahan juga la sakitnya. Rasa macam ada yang tak kena dengan sendi lutut Paklong ni. Paklong ni biasalah, kalau sakitnya tak ke tahap yang serius memang Paklong buat endah tak endah saja. Tapi kalau sampai dah tahap nak bersolat pun dah terganggu memang dah kena pergi checkup ni.

Kebetulan pada masa yang sama juga Paklong ada balik ke kampung. Ayah Paklong ajak Paklong untuk teman dia buat rawatan susulan sakit sendi dia. Ayah Paklong kata dia serasi pergi berubat dengan seorang apek ni. Sudah beberapa kali dia pergi berurut dengan apek. Alhamdulillah ada kemajuan katanya. Disebabkan ada tindak balas yang positif jadi dia pun meneruskan urutan susulan. Jadi alang-alang pergi sekali dengan ayah dan mak Paklong mungkin Paklong boleh suruh apek ni periksa lutut Paklong ni. Tengok kalau-kalau ada alignment yang lari ke.

Thursday, January 16, 2014

Salam Maulidur Rasul

Paklong ucapkan salam maulidur Rasul (s.a.w.) kepada semua Muslimin dan Muslimat sekalian. Semoga dengan peringatan kita sekalian pada ulang tahun kelahiran junjungan kita dapat menambahkan kecintaan kita kepada Muhamad S.A.W. hendaknya.

Sempena dengan ini Paklong ada nak pesan sikit untuk diri Paklong sendiri dan juga kawan-kawan Paklong diluar sana.

Kita ikut sunnah Rasulullah s.a.w. dengan menjadi peniaga. Tapi kita terkhilaf pandang tentang macam mana Rasulullah s.a.w. itu berniaga. Itu pun satu sunnah juga.

Paklong percaya bagaimana ciri-ciri atau tingkah laku peniaga yang bernama Muhammad Ibn Abdullah itu banyak dihuraikan dan dicerita oleh mereka yang ahlinya. Teknik berniaga atau berbisnes gaya Rasulullah s.a.w. Paklong nak huraikan secara terperinci pun Paklong bukanlah seorang ustaz atau pun alim ulama. Banyak lagi ilmu yang Paklong perlu mengaji. Cuma Paklong harap dalam pada masa kita mengikut sunnah Baginda menjadi seorang peniaga atau pun pedagang janganlah kita mengabaikan sunnah-sunnah semasa mana Baginda. Inshallah mudah-mudahan kita akan menjadi seorang peniaga yang disukai dan juga disegani oleh pelanggan-pelanggan kita.