Monday, January 20, 2014

Tok Ba Si Tukang Urut

Selain daripada masalah kuku kaki Paklong, lutut Paklong juga sebelum ini ada mengalami masalah. Bukannya sampai tak boleh berjalan tapi kalau tersilap langkah atau pun tersadung akan terasa kesan pada sendi lutut Paklong. Boleh tahan juga la sakitnya. Rasa macam ada yang tak kena dengan sendi lutut Paklong ni. Paklong ni biasalah, kalau sakitnya tak ke tahap yang serius memang Paklong buat endah tak endah saja. Tapi kalau sampai dah tahap nak bersolat pun dah terganggu memang dah kena pergi checkup ni.

Kebetulan pada masa yang sama juga Paklong ada balik ke kampung. Ayah Paklong ajak Paklong untuk teman dia buat rawatan susulan sakit sendi dia. Ayah Paklong kata dia serasi pergi berubat dengan seorang apek ni. Sudah beberapa kali dia pergi berurut dengan apek. Alhamdulillah ada kemajuan katanya. Disebabkan ada tindak balas yang positif jadi dia pun meneruskan urutan susulan. Jadi alang-alang pergi sekali dengan ayah dan mak Paklong mungkin Paklong boleh suruh apek ni periksa lutut Paklong ni. Tengok kalau-kalau ada alignment yang lari ke.
Rumah apek ni terletak di Pekan Tunjang, Kedah. Unit terakhir deretan rumah kedai kayu bersebelahan dengan traffic light. Paklong sampai dalam tengahari. Apek tu pun baru selesai makan nasik. Bila dia tengok ayah Paklong dia pun tak cakap banyak, terus capai selendang hitam ala kung fu dia dan terus pakai di pinggang dia. Pesakit lama dia. Urutan dia pada ayah Paklong tak lama sangat. Dalam lebih kurang 20 minit macam tu.

Selesai sahaja apek tu mengurut ayah Paklong, giliran Paklong la pula. Paklong pun bukannya bersungguh-sungguh sangat. Tapi alang-alang dah datang apa salahnya kalau suruh dia belek-belek sikit lutut Paklong yang longgar ni. Dia pun pegang-pegang tempurung lutut Paklong sambil tanya bahagian mana yang sakit. Hasil diagnos apek tu mendapati tempurung lutut Paklong ada terlari sedikit dari kedudukannya. Itu yang sakit sangat. Mungkin kesan terjatuh masa dulu-dulu yang Paklong tak perasan atau pun Paklong buat-buat tak endah.

Bila dengar macam tu Paklong dah syak mungkin akan ambil masa yang lama untuk apek tu nak urut lutut Paklong. Rupanya Paklong tersilap. Dalam masa tak sampai sepuluh minit macam tu dia picit-picit dan urut bahagian lutut Paklong. Tiba-tiba dia suruh Paklong berjalan. Dah selesai apek tu kata. Apek tu pesan kepada Paklong supaya jangan buat kerja-kerja yang berat dalam masa yang terdekat untuk memastikan kedudukan tempurung dalam keadaan yang normal.

Alhamdulillah selepas daripada tu dah tak rasa lagi sakit atau pu ngilu pada lutut Paklong kalau tiba-tiba kaki Paklong terhentak atau pun sebagainya. Paklong dengar banyak juga pesakit-pesakit daripada segenap lapisan masyarakat yang datang untuk berurut dengan apek ni. Daripada semua bangsa. Kalau sesiapa yang memerlukan rawatan sakit sendi daripada apek sensei ni boleh pergi ke Pekan Tunjang, Kedah dan tanyakan tentang si apek tua yang mesra di panggil Tok Ba ini. Mudah-mudahan ilmu yang ada padanya boleh memberikan manfaat pada anda. Inshallah.

Tok Ba tengah mengurut ayah Paklong. Jangan terkejut. 
Dia memang tak pakai baju semasa mengurut. 

1 comment: